Kali pertama saya membaca tentang teori Big Bang, saya menjadi hairan kerana Big Bang dikaitkan dengan sebuah letupan yang sangat dahsyat, lalu alam semesta yang kita diami ini pun tercipta hasil daripada Big Bang tersebut. Apabila saya meneliti dan cuba mengaitkan dengan al-Qur'an melalui pembacaan di laman web, tidak ada pun ayat al-Qur'an yang mengaitkan 'letupan' dengan kejadian alam semesta ini.
Di dalam surah Al-Anbiya ayat 30 Allah berfirman maksudnya :
Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?
Ini jelas bermaksud bahawa bukanlah letupan yang menyebabkan terjadinya alam ini. Ia lebih kepada 'peluasan' dalam kadar yang amat cepat daripada suatu jisim yang amat kecil.Tidak dapat dipastikan juga samada adakah benar ketika alam ini mula terbentuk, ke semua objek celestial seperti bintang, galaksi, planet dan matahari berada di dalam keadaan gas seperti gas hidrogen yang sangat panas, yang kemudiannya membentuk helium, sebelum mula menyejuk dan membentuk objek-objek seperti yang ada sekarang.
Penemuan terbaru di dalam tahun 2022 oleh James Webb Telescope mendapati bahawa jauh di pengujung dunia iaitu di awal kejadian alam, terdapat suatu titik merah yang merupakan sebuah galaksi yang telah tua dan sudah siap terbentuk. Ini agak menganehkan kerana pada awal kejadian alam, galaksi dan bintang-bintang di dalamnya sepatutnya bersaiz kecil dan berwarna biru selain mempunyai saiz yang agak kecil, lebih kurang sebesar saiz bima sakti iaitu galaksi yang kita diami. Lalu muncul persoalan, mungkinkah sudah ada alam lain yang telah wujud sebelum alam kita yang dikatakan terjadi oleh Big Bang ini?
Jika ini benar, maka al-Qur'an sekali lagi adalah benar kerana di dalam surah al-Fussilat ayat ke 12 Allah berfirman :
Lalu diciptakan-Nya tujuh langit dalam dua masa dan pada setiap langit Dia mewahyukan urusan masing-masing. Kemudian langit yang dekat (dengan bumi), Kami hiasi dengan bintang-bintang, dan (Kami ciptakan itu) untuk memelihara. Demikianlah ketentuan (Allah) Yang Mahaperkasa, Maha Mengetahui.
Di dalam ayat ini jelas memperlihatkan bahawa langit mempunyai tujuh lapisan, dan ini memungkinkan bahawa alam kita ini di lapisan yang pertama. Wallahualam.
0 Ulasan